Salah satu undang-undang yang penting bagi dunia kreativiti dan intelektual di Malaysia adalah Akta Hak Cipta 1987. Akta ini memberikan perlindungan undang-undang kepada pencipta karya kreatif daripada peniruan dan penyalinan tanpa izin serta pengedaran dan penggunaan tanpa kebenaran.
Akta Hak Cipta 1987 adalah undang-undang yang ditubuhkan di Malaysia untuk melindungi hak kreatif dan menggalakkan kreativiti dalam pelbagai bidang seperti seni, muzik, filem dan penulisan.
Ia memberikan hak eksklusif kepada pencipta untuk mengawal penggunaan, pengedaran dan pemanfaatan karya-karya mereka. Selain itu, anda juga boleh baca tentang bentuk cap dagangan untuk ketahui jenis cap dagangan di Malaysia.
Maksud Hak Cipta
Hak Cipta adalah HAK EKSKLUSIF yang diberikan kepada pencipta atau pemilik asal suatu karya kreatif untuk melindungi karya tersebut dalam TEMPOH tertentu daripada penggunaan atau penyalinan tanpa izin.
Perlindungan terhadap hak cipta ini adalah berasaskan kepada Akta Hak Cipta 1987. Jenis-jenis karya kreatif yang dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987. Berikut kami kongsikan jenis-jenis karya beserta contoh karya yang boleh mendapat perlindungan di bawah akta ini;
- Karya Sastera – Novel, cerpen, puisi, artikel dan lain-lain tulisan
- Karya Muzik – Lagu, melodi, dan lain-lain komposisi muzik
- Karya Seni – Lukisan, gambar, grafik dan lain-lain visual karya seni
- Filem – Filem, video, animasi dan lain-lain
- Rakaman Bunyi – Rakaman konsert, suara percakapan, suara pidato, soundtrack dan lain-lain rakaman bunyi
- Siaran – Siaran Tv, Radio dan sebagainya
- Karya Terbitan – Buku, majalah, komik dan lain-lain
Mengapa Akta Hak Cipta 1987 Begitu Penting?
Dalam era digital yang berkembang pesat ini, aktiviti penyalinan tanpa izin, pengedaran karya tanpa kebenaran dan pencurian hak harta intelek semakin berleluasa.
Akta ini bertujuan untuk menangani isu-isu sebegini dan memberikan perlindungan undang-undang kepada pencipta dan pemilik hak cipta.
Salah satu aspek penting dalam Akta Hak Cipta 1987 adalah hak-hak yang diberikan kepada pencipta.
Pencipta mempunyai hak eksklusif untuk menggandakan, mengedarkan, mempersembahkan atau mempamerkan karya mereka.
Ini bermakna orang lain tidak boleh melakukannya tanpa izin atau persetujuan daripada pencipta.
Walau bagaimanapun terdapat juga pengecualian yang diberikan di bawah undang-undang ini. Misalnya penggunaan karya dalam keadaan ‘penggunaan wajar’ adalah dibenarkan.
Ini merujuk kepada penggunaan yang adil dan tidak akan merosakkan kepentingan atau nilai ekonomi karya tersebut.
Contohnya ; Ulasan, penyelidikan atau pendidikan yang memerlukan penggunaan sedikit atau sebahagian kecil daripada karya itu.
Tempoh Perlindungan Akta Hak Cipta 1987
Satu lagi perkara yang perlu difahami adalah tempoh perlindungan hak cipta di bawah akta ini.
Secara umumnya, hak cipta akan berterusan selama hayat pencipta tersebut dan ditambah dengan tempoh selepas kematian pencipta.
Setelah itu, karya tersebut akan menjadi harta umum dan boleh digunakan oleh orang lain tanpa memerlukan kebenaran pencipa.
Berikut kami kongsikan tempoh perlindungan mengikut jenis karya kreatif;
1. Karya sastera, Karya muzik atau Karya Seni
Hak Cipta mengenai mana-mana karya sastera, muzik atau seni akan wujud sepanjang tempoh hayat pencipta dan akan terus wujud sehingga habis tempoh 50 tahun selepas kematiannya.
2. Filem, Rakaman bunyi dan pelaku
Hak Cipta wujud selama 50 tahun dari karya itu diterbitkan dan dibuat penetapan untuk karya filem dan rakaman bunyi.
Bagi pelaku, hak cipta hendaklah wujud daripada persembahan dilakukan atau penetapan dalam rakaman bunyi.
3. Siaran
Hak Cipta dalam siaran, perlindungan berlaku dalam cara transmisi sama ada melalui cara wayar atau tanpa wayar (wireless). Tempoh 50 tahun hendaklah dikira dari mana siaran pertama kali dibuat.
Pihak yang mendapat manfaat daripada Akta Hak Cipta 1987
Tertubuhnya undang-undang Akta Hak Cipta di Malaysia memberikan pelbagai manfaat kepada beberapa pihak dan seluruh rakyat Malaysia. Antaranya adalah seperti berikut;
Usahawan dan Pencipta
Sudah tentunya usahawan dan pencipta merupakan pihak yang mendapat manfaat secara langsung daripada Akta Hak Cipta 1987.
Mereka dapat melindungi dan memanfaatkan karya atau produk yang mereka hasilkan dengan hak eksklusif, meningkatkan daya saing yang kompetitif, mendapat penghargaan, perkongsian perniagaan dan menjana pendapatan daripada pemasaran dan perlesenan.
Pengguna
Secara tidak langsung pengguna juga mendapat manfaat daripada undang-undang Akta Hak Cipta 1987.
Perlindungan hak cipta ini dapat memasikan kualiti dan keaslian produk yang mereka gunakan. Pengguna akan lebih yakin bahawa produk yang dibeli adalah asli, berkualiti dan tidak melanggar undang-undang hak cipta.
Masyarakat
Seluruh masyarakat di Malaysia juga mendapat manfaat daripada Akta Hak Cipta 1987. Akta ini mendorong pertumbuhan dan perkembangan industri kreatif dan inovasi di Malaysia.
Ini akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan seterusnya meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Ia juga boleh memberikan perkembangan positif dalam bidang seni dan kebudayaan di kalangan masyarakat.
Pemerintah
Dengan adanya Akta Hak Cipta 1987, pihak kerajaan dapat mempromosikan harta intelek sebagai salah satu sumber pertumbuhan ekonomi negara.
Perlindungan hak cipta akan menggalakkan pelaburan, meningkatkan cukai dan membantu negara membina reputasi sebagai negara yang menghormati kepentingan hak harta intelek.
Industri Kreatif dan Ekonomi Kreatif
Industri kreatif dan ekonomi kreatif secara keseluruhannya mendapat manfaat daripada perlindungan hak cipta.
Akta Hak Cipta 1987 menggalakkan pertumbuhan sektor ini dengan penguatkuasaan undang-undang dan perlindungan karya kreatif.
Ini akan mendorong inovasi, pertumbuhan perniagaan dan peluang pekerjaan di dalam industri dan ekonomi kreatif.
Apakah Langkah dan Cara Untuk Melindungi Hak Cipta?
Ada beberapa langkah praktikal yang boleh diambil oleh pencipta untuk melindungi karya kreatif mereka.
Cipta Bukti Karya
Pertama sekali, pencipta perlu mengambil langkah iaitu mencipta bukti keaslian karya mereka seperti memastikan TARIKH penciptaan karya dan menyimpan SALINAN karya tersebut.
Mendaftar Hak Cipta
Seterusnya, pencipta perlu mengambil langkah untuk MENDAFTAR hak cipta karya kreatif mereka di pejabat Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Jumpa Konsultan Daftar Hak Cipta
Sekiranya pencipta memerlukan sebarang nasihat dan bantuan untuk proses pendaftaran hak cipta, pencipta boleh merujuk kepada konsultan pendaftaran hak cipta yang berpengalaman.
Konsultan dapat memudahkan dan menyenangkan urusan pendaftaran supaya senang mendapat kelulusan daripada MyIPO.
Adalah penting untuk kita sedar betapa pentingnya Akta Hak Cipta 1987. Jika seseorang melanggar hak cipta suatu karya, pencipta karya tersebut boleh mengambil tindakan undang-undang.
Akta Hak Cipta 1987 memberikan peruntukan bagi pencipta untuk menuntut ganti rugi dan menghentikan penggunaan yang tidak sah terhadap karya mereka. Oleh itu sebagai pencipta adalah penting untuk memantau penggunaan hasil karya dan harus bertindak segera jika ada sebarang pelanggaran.
Selain itu, kesedaran mengenai hak cipta dan betapa pentingya untuk kita menghormati karya orang lain perlu disebarkan kepada masyarakat.
Dunia teknologi yang kini yang kian berkembang menyebabkan penggunaan serta penyebaran karya tanpa izin menjadi semakin mudah.
Oleh itu, pendidikan mengenai hak cipta kepada pelajar, pengguna internet dan semua lapisan masyarakat adalah amat penting untuk memupuk penghargaan terhadap hak cipta karya kreatif.
Sebagai Konsultan Hak Cipta, pihak kami bersedia untuk membantu mana-mana pencipta atau pemilik karya kreatif untuk melindungi karya kreatif yang dihasilkan.
Proses pendaftaran hak cipta memerlukan bukti dan dokumen yang berkaitan bagi membolehkan karya didaftarkan tanpa sebarang masalah.
Kami berharap dengan perkongsian artikel mengenai Akta Hak Cipta 1987 ini, dapat membantu usahawan, individu, penerbit, penulis dan organisasi serta syarikat mendapatkan perlindungan untuk semua hasil karya kreatif yang ada.
Ini adalah untuk mengelakkan daripada hasil karya kreatif tersebut ditiru dan digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Hubungi kami atau Whatsapp kami untuk kami bantu lindungi hak cipta anda.